Syifa An Nuur dan kelahiran yang tenang 4

Pada jam 6 pagi,   ummi terjaga kerana merasakan sensasi ombak contraction .
Alhamdulillah.. Ummi mengucap syukur sebanyak2nya kehadrat Allah Al Bari' yang Maha cantik PerancanganNya.

Sepanjang tempoh bangun mandi dan mengambil wudu serta menunaikan solat subuh , sakit contraction semakin kerap dan kuat sedikit daripada sebelumnya. Skala sakit pada ketika itu ialah 4 daripada 10.Usai solat,  ummi dan abah keluar untuk bersarapan . Setelah bersarapan,  ummi merasakan sudah sampai masanya untuk ke hospital. 

Ummi mahu ke hospital bukan kerana merasa sakit kuat,  tapi ummi ke hospital dengan niat untuk buat pemeriksaan bukaan jalan kerana bimbang bukaan sudah banyak walaupun sakit contraction masih ringan.  Bukankah ummi sudah berdoa supaya diangkat rasa azab sakit bersalin yang disebut nabi sebagai (AlaamahalMakhaad)?

Sampai di hospital,  Staff sudah tersenyum untuk menyambut ummi. Biasalah hospital swasta,  senyuman mereka semuanya ada harga. (statement nakal).  Jika di hospital kerjaaan,  berjanggutlah nak jumpa staff /nurse yang tersenyum manis untuk menyambut pesakit.

Setelah mendaftar,  staff mempelawa untuk membawa ummi menggunakan wheelchair.  Ummi menolak dan meminta untuk berjalan sahaja tetapi mereka tak benarkan.  Ummi dibawa ke bilik pemeriksaan di tingkat atas hospital Dan ketika itu,  ummi merasakan seperti permaisuri dijulang kerana di bawa menggunakan wheelchair tanpa keperluan.

Di bilik pemeriksaan,  staff melakukan prosedur memeriksa bukaan jalan /VE.  Ternyata,  bukaan jalan ketika itu baru 3 cm. 

Ummi merasa sangat 'frust ketika itu.  Ummi menjangkakan jalan sudah buka banyak tetapi hampa.  Sudah sekian lama ummi menanti tapi masanya belum tiba.  Ummi mula membayangkan sakit kuat seperti kelahiran Al Hafiz Dan Al Amin yang lepas kerana untuk sampai kepada bukaan 5 keatas,  pastilah perlu melalui sakit tahap menggelupur itu dahulu. Tapi, tidak semestinya. Staff yang ummi panggil 'Lia' Dan Abah disisi memberi semangat kepada ummi.Lia memberi kata-kata positif bahawa kemungkinan besar bukaan akan lebih cepat selepas ini.  Lia menelefon doktor Norhayati supaya datang untuk mengesahkan pemeriksaan bukaan jalan ummi.

Oleh kerana doktor Norhayati masih di rumah,  kerana ketika itu bukan gilirannya bertugas, kami menunggu doktor Norhayati datang ke hospital dan ia agak mengambil masa. Pada ketika itu,  jam sudah menunjukkan pukul 9.30 pagi. 

Sambil menunggu doktor,  abah keluar untuk mengemas barang-barang dan menyelesaikan urusan check out hotel . Tinggallah ummi sendiri bersama Lia di bilik pemeriksaan.  Lia setia menunggu di hujung katil memerhatikan ummi dan bersedia sekiranya ummi memerlukannya.  Ummi merasa sedikit canggung kerana dilayan begitu baik .

Apabila Lia keluar dari bilik pemeriksaan untuk menyelesaikan beberapa urusan,  Ummi mula bermunajat semula.  Daripada tidur berbaring, ummi bangun duduk bersila di atas katil.  Tiba -tiba ummi mendapat satu ilham dalam bermunajat.

Ummi berbisik sendirian dari lubuk hati ummi, bermunajat kepada Allah As sami' Yang Maha Mendengar,  bahawa sekiranya Allah menerima suatu amalan yang Ummi selalu beristiqamah dengannya,  maka Allah permudahkanlah urusan kami semua pada ketika itu. Amalan itu ialah bacaan Manzil setiap pagi,  berupa ruqyah perlindungan Dan pergantungan hanya kepada Allah yang satu.. 

Manzil itu, Ummi paksakan diri membacanya setiap pagi ketika memandu ke sekolah, walau apapun alasan yang hadir, walaupun mengantuk, walaupun rasa malas, walaupun rasa mahu berhibur dengan mendengar celoteh dj radio, ummi ketepikan dan berusaha menghabiskan bacaan manzil setiap pagi dalam perjalanan ke sekolah.

Ummi rasa serasi' dengan amalan itu sehingga ia telah banyak megundang manfaat kepada ummi.  Allah Al Wakeel telah memberikan banyak perlindungan kepada ummi sejak ummi mengamalkankannya.

Antaranya ialah,  telah beberapa kali ummi terlelap ketika memandu dalam tempoh beberapa saat yang agak lama, apabila terjaga, ummi mendapati kereta yang ummi pandu masih di atas laluan jalan dalam keadaan stabil. Bagaimana ummi tahu bahawa tempoh lelap ummi agak lama? Caranya ialah pada hari lain ketika ummi memandu di jalan yang sama,  ummi mengukur masa yang berlalu bermula dengan landmark terakhir yang ummi nampak sebelum terlelap dan tempat terawal setelah ummi tersedar dari lelap.  Ternyata laluan itu telah melepasi satu selekoh sepanjang ummi terlelap. 

Begitulah penjagaan Allah As Salam yang Maha Sejahtera Dan selamat lagi Menyelamatkan hamba -hambanya.

Suatu lagi perkongsian mengenai penjagaan Allah As Salam ialah tentang vaksinasi.  Sememangnya isu vaksin ialah perkara yang terlalu rumit utk difahami.  Sejak awal, ummi hanya akan ikut pendapat orang sekeliling tentang kebaikan2 vaksinasi namun sejak kebelakangan ini, ummi merasa tidak sedap hati dengan isu vaksin.  Ummi berserah kpd Allah,sekiranya ia perlu mengikut kehendak@keluasan ilmu pengetahuan Allah, maka permudahkanlah supaya kita sekeluarga tidak tercicir dari kelebihan perubatan semasa, namun sekiranya ia tidak perlu, dan boleh menjejaskan hati dan fikiran kerana isu halal haramnya yang masuk ke tubuh, maka ummi berharap Allah datangkan asbab2 semasa supaya kita semua dapat mengelak daripadanya tanpa perlu perbalahan atau penjelasan kepada orang sekeliling yang tak mampu kita lakukan.

Sememangnya telah beberapa kali ummi dan kalian 'dielakkan' dari vaksin dengan hadirnya beberapa 'asbab semasa' di luar perancangan Ummi.  Ummi hanya berserah kerana ummi tidak tahu.  Allah Al Hafiz lah yang berkuasa menjaga.

Berbalik kepala situasi di bilik pemeriksaan,  setelah bermunajat,  ummi merasa sebak ketika itu.  Tidak tahu punca sebak,  ummi mengalirkan air mata dan mula mengalunkan bacaan manzil yang ummi ingat dengan alunan paling indah yang ummi pernah lafazkan.  Suara ummi sederhana nyaring menyebabkan ummi perasan bahawa Lia Dan beberapa staffnurse yang sedang bertugas  berhenti menulis seketika mendengar bacaan manzil yang ummi lantunkan dari bilik pemeriksaan. Ummi juga perasan Lia hanya menunggu di pintu bilik,agaknya memberi ruang untuk ummi bersendirian dengan bacaan manzil itu.

Ummi kemudian memejamkan mata kerana mahu fokus. Sambil melantunkan hafazan ayat ayat manzil,  ummi menghayunkan sedikit badan kehadapan dan kebelakang untuk mengawal rasa sakit contraction.  Pada ketika itu, skala sakit yang ummi rasakan sudah di tahap 5 daripada 10. 

Air mata sebak terus menerus mengalir di pipi.  Ummi meneruskan bacaan sehingga ayat terakhir.  Terasa rindu. terasa kuat.  Terasa dekat dengan Allah ketika itu.  Itulah moment yang ummi takkan lupa sepanjang hayat ummi, dengan izin Allah.

Comments